Friday, January 23, 2009

DANA KERJASAMA MALAYSIA

Aku menerima sehelai tawaran dari kawan melalui pos.Tertariknya aku untuk mengkaji, apakah benar kita mampu menerima pendapatan dengan sistem ini. Hanya bermodalkan RM30, kita mampu meraih pendapatan 4 ke 5 angka malah 6 angka dalam tempoh 90 hari (3 bulan). 3 bulan tak lah lama... Apa salahnya mencuba andai ianya mampu terjadi. Dalam dunia yang sedang dihimpit dengan kemelesetan ekonomi ini, segalanya tidak mustahil. Kos sara hidup yang meningkat saban hari sehinggakan budget bulanan pun dah makin lari, ada yang diberhentikan kerja, kilang-kilang mengecilkan atau menutup terus operasi, aku rasa program ini harus dicuba. Bagi yang nak join, aku akan kongsi dengan anda. sila tinggalkan nama serta alamat. Aku akan poskan maklumat tersebut. Bersama-samalah kita bebaskan diri kita dari belenggu kewangan.

Tuesday, January 20, 2009

TAKZIAH BUAT SRI DIAH

Terbaca ruangan interaktif@sinar di akhbar Sinar Harian aku simpati atas kemabalinya kerahmatullah Allahyarhamah Hajah Hatijah binti Ibrahim, ibu kepada Puan Radhiah binti Saharuddin atau lebih dikenali dengan nama Sri Diah. Mungkin juga aku kurang mengenali beliau tetapi 16/1/09 lalu aku baru sahaja membaca karyanya yang bertajuk "Selamat Malam Tan Sri". Kepada Sri Diah yang kini bertugas sebagai Editior Kumpulan Sinar Harian, aku merakamkan jutaan dukacita keatas kembalinya ibu Puan dan berdoa semuga Allahyarhamah ditempatkan disamping orang-orang yang beriman. Insya-Allah. Al-Fatihah.

Monday, January 19, 2009

TUN RAZAK - Putera Titiwangsa


Semalam selesai ku baca buku bertajuk 'TUN RAZAK - Putera Titiwangsa' karya Tan Sri Dato' Seri Shariff Ahmad. Mungkin juga kerana aku 'berehat' semalam kerana demam. Jadi, dari rehat-rehat kosong, adalah lebih baik masa tersebut ku isi dengan membaca. Kesimpulan yang ku dapat, buku tersebut adalah satu bahan sejarah yang tak ternilai. Manakan tidak, aku dapat mempelajari dan mengetahui selok belok kejadian yang berlaku sebelum negaraku mencapai kemerdekaan. Pengorbanan serta perjuangan yang diceritakan di dalam buku ini amat menarik minatku. Bagaimana sejarah hidup Tun Razak, bagaimana penyelesaian krisis 13 Mei, bagaimana konfrontasi Malaysia - Indonesia, bagaimana terkeluarnya Singapura dari Malaysia dan bagaimana pemimpin-pemimpin waktu itu meminda Perlembagaan agar kepentingan semua kaum di negara ini terpelihara.
Bagi aku yang lahir selepas waktu negara mencapai kemerdekaan, buku ini begitu mengujakan sekali dan mampu dijadikan rujukan bagi anak-anak selepas Merdeka. Best.

Saturday, January 17, 2009

APA ERTINYA GENCATAN SENJATA

Bermaknakah ?
Selepas nasi menjadi bubur ?
Negara bagaikan padang jarak, padang tekukur
Anak menjadi yatim
Isteri menjadi balu
Suami hilang isteri
Semuanya hilang !
Hilang keluarga,
Hilang tempat bermanja,
Hilang tempat melelapkan mata,
Hilang sumber pendapatan,
Hilang ilmu pelajaran,
Hilang, Hilang, Hilang,
Hilang segala-galanya !
YANG TINGGAL
DERITA, AIRMATA DAN SENGSARA

Rizal
Selamatkanlah Palestin
Jahamanlah kau Israel

PASAR CHOWRASTA TURUT MENEMPATKAN KEDAI BUKU TERPAKAI

ARKIB : 24/03/2008

PULAU PINANG - Buku lama atau buku terpakai mempunyai nilai yang berbeza kepada setiap orang malah tidak ramai yang mengetahui bahawa buku-buku berkenaan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.
Kepada kebanyakan orang, buku-buku terpakai cuma menghimpun habuk dan debu, membazir ruang dan merimaskan sekali gus jalan paling mudah yang diambil ialah dengan membuangnya sahaja.
Namun, kepada segelintir masyarakat terutama yang menggemari atau mempunyai hobi mengumpul buku, barangan bacaan yang telah lusuh dan buruk itu ada harganya.
Bagi penggemar buku-buku terpakai di negeri ini, mereka pasti akan menuju ke satu tempat iaitu di Pasar Chowrasta yang terletak di Jalan Penang untuk mendapatkan buku-buku berkenaan.
Kedai-kedai buku berkenaan terletak di bahagian atas bangunan dua tingkat pasar tersebut dan ia menempatkan beribu-ribu buku sama ada yang baru atau pun terpakai.
Bagi penggemar buku terpakai, kunjungan ke kedai-kedai itu adalah satu kemestian kerana pelbagai jenis buku ada dijual di situ dengan harga yang berpatutan.
Walaupun harga yang ditawarkan adalah berpatutan namun pembeli masih boleh tawar-menawar dengan pembeli di situ.
Malahan pembeli yang membeli buku berkenaan boleh menjual semula kepada peniaga di kedai yang sama selepas mereka habis membaca buku tersebut namun harga yang dibeli semula itu lebih rendah daripada harga asal.
Buku-buku yang dijual pula meliputi semua topik termasuk seram, novel, biografi, cara hidup atau akademik hasil karya penulis terkemuka dunia.
Sudah pastinya timbunan buku di deretan kedai itu menghimpunkan pelbagai hasil karya penulis ternama dunia dan tempatan sebagai santapan minda kepada penggemar buku.
Selepas membeli buku, pengunjung boleh melawat Pasar Chowrasta yang bukan sahaja terkenal dengan aktiviti pasar basah, malah mereka boleh membeli baju-baju dan yang paling istimewa pengunjung boleh mendapatkan jeruk-jeruk dengan harga yang berpatutan.
Antara jeruk yang selalu menjadi tumpuan ialah betik, mangga, kedondong, buah pala dan bawang putih.

OLEH : NURUL HUDA HASSAN
Dipetik dari : Utusan-online

Friday, January 16, 2009

TAMAT GAYAT


Rasanya hari ini aku 'free'. Tak ke mana-mana, tak ada tugasan. Agaknya sebab aku selesema. Jadi, berkampung di rumah jer. Dalam post aku sebelum ni, aku kata nak baca buku bertajuk 'Gayat' karya Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob. Ku kotakan hajat ku dan selesai buku setebal 109 muka surat tu. Lebih kepada satu tulisan yang ku anggap berbentuk nasihat, kesedaran dan peringatan. Allahyarham merayu agar bangsanya tidak lupa daratan, menyeru agar bangsanya mempertahankan negara merdeka ini, memohon agar bangsanya menunaikan tanggungjawab membela bangsa, agama dan negara.

Bagiku, walaupun isinya tidak berat (2 jam selesai membaca), namun aku sedar bahawa ini adalah satu peringatan berguna dari seorang bekas pemimpin negara yang kini telah tiada. Satu tulisan yang harus dijadikan renungan kerana penulisnya kini telahpun meninggalkan kita. Insya-Allah, akan kujadikan panduan.
Buku apa selepas ini ? Insya-Allah, "Tun Razak - Putera Titiwangsa" karya Tan Sri Dato' Seri Shariff Ahmad yang pernah memegang jawatan Menteri Tanah dan Wilayah dan bersara dalam dunia politik pada tahun 1983.

TAMAT 1 BUKU


Malam tadi, tamat satu novel bertajuk "Selamat Malam Tan Sri" yang ku beli dari Sdra. Halim. Novel genre percintaan karya Sri Diah yang bagi ku ringan tapi Sdra. Halim kata bila dah start baca, memang nak terus sampai ending. Aku akui...buktinya, aku mengambil masa 2 hari (tak lah berikan tumpuan sangat) menyelesaikan sepenuhnya buku setebal 417 mukasurat itu.

Seperti yang kunyatakan tadi, novel ni tak lah berat sangat...kisah seorang wartawan bernama Hanim Hanani yang pada awalnya hanya menjalankan rutin tugasnya sebagai wartawan, menyingkap tentang pelbagai masalah rumahtangga terutamanya keatas wanita yang bergelar isteri tetapi dianiaya oleh suami. Pertemuan dengan seorang VVIP yang juga pada mulanya tersenarai dalam tugasan beliau mengubah sedikit senario dirinya bila mana beliau sendiri terjebak dalam percintaan malah semakin berat bila anak teruna VVIP itu juga menaruh hati padanya. Kelainannya cuma, jika isteri pertama VVIP itu marah si VVIP tersebut telah membelakangkannya pada perkahwinan dengan isteri kedua tapi dia merestui Hanim menjadi madunya.. Pada saya, perkahwinan kedua VVIP adalah satu senario biasa... (rahsia untuk jaga hati isteri)... Bacaan ringan ini saya akui mampu mengeluarkan kita sebentar dari masalah-masalah yang sedang difikirkan kerana gaya bahasa serta jalan ceritanya santai. Tak berat, tak perlu memberatkan otak untuk memikirkannya.... Buku kedua yang teringin ku baca, mungkin Gayat karya Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob. Adios...

Thursday, January 15, 2009

BUKU-BUKU AKAN DATANG

Insya-Allah... aku sedang menanti buku-buku yang ku pesan dari Sdra. Halim. Dahsyat sungguh Sdra. Halim. Banyak juga koleksi beliau. Aku rasa, tak perlu ke kedai-kedai buku terpakai lagi. Lagipun tak banyak yang mampu ku perolehi. Seperti di Giant Shah Alam, buku-buku politik Bahasa Malaysia agak terhad di booth buku terpakai. Adalah dua tiga buah dan tidaklah mengecewakan bila sesekali ke sana. Kata orang di Jalan Chowrasta Pulau Pinang, banyak kedai-kedai buku terpakai. Tapi, nak pergi tu satu hal. Jauh beb... Kalau diizinkan Allah, aku bakal menerima buku-buku di bawah ini dari Sdra. Halim.

1. Ibrahim Ali - Meredah Samudera karya Sdra Zainal
2. Perang Oktober karya Sdra Mohd Sayuti Omar
3. Dilema Neraca Retak karya Datuk Paduka Ibrahim Ali
4. Mahathir Mudah Lupa karya S H Alattas (Pak Habib)
5. Hadi PM Malaysia ke 6 karya Ahmad Lotfi Ismail
6. Di Sini Aku Berdiri : Ezam Mohd Noor karya Rozaid A Rahman
7. Dosa Kita Pada Anwar karya Anuar M Nor & Badaruddin Ismail
8. Diam-Diam Daim karya S H Alattas (Pak Habib)
9. Bukan Ahli UMNO : Bukan Sakah SSB karya Mohd Affandi Hassan
10. Permata Dari Pulau Mutiara karya Mujahid Haji Yusof Rawa
11. 50 Tahun Mempelopori Perubahan - menyingkap kembali perjuangan PAS 50 tahun

Teruja rasanya.

TERIMA KASIH SAUDARA HALIM

Hari ini aku menerima 5 buah buku dari Saudara Halim. Nampaknya hubungan baik kita akan berpanjangan. Mungkin Saudara ni 'fanatik buku' orangnya (tak seronok guna ayat 'ulat buku' sebab dunia dah berubah jadi gaya bahasa pun harus ikut berubah).
Kepada sahabat serta teman yang menjengah ke blog aku, dibawah ini ku senaraikan 5 buah buku yang ku terima dari Saudara Halim.

1. Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal tulisan Dato' Dr. Hassan Ahmad
2. Pidato & Berpidato : Seni dan Teknik tulisan Sdra. Rahmat Ismail
3. Fenomena Mawi : Apakah PAS sudah berubah ? susunan Sdra. Zulkifli Sulong
4. Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya tulisan Sdra. Hishamuddin Rais
5. Di Sebalik Tabir Reformasi : Anwar Menggegar karya Abdul Muluk Daud

Aku teruja pada 2 buah buku yang terakhir. Selama ini nama Hishamuddin Rais serta orangnya hanya ku baca dan ku lihat melalui dada-dada akhbar. Hanya ku kenali atas pelbagai kontroversi yang melanda beliau. Kehadiran tulisannya dalam perpustakaan mini ku, rasanya mampu merungkai sedikit sebanyak personaliti beliau. Bagi Abdul Muluk Daud pula, ini adalah buku kedua yang kumiliki. Sebelum ini aku melihat beliau sebagai seorang yang optimis dan tidak memihak kepada sesiapa malah semangat mencari kebenaran beliau tergambar di dalam buku "Antagonis Melayu" yang ku miliki.

Terima kasih Sdra. Abdul Halim Ismail.

MELAYU LUPA MELAYU


Aku bangsa Melayu

dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu


Aku Melayu kerana ibu dan ayahku Melayu

maka bercakaplah aku

Bahasa Melayu

tiba-tiba tanpa disedari

Tanah Melayu jadi Malaya

mau tak mau aku terima.


Datang Sabah, Sarawak dan Singapura

Malaya bernama baru, Malaysia

perginya Singapura,

Malaysia kekal Malaysia

pun aku masih terima

kad pengenalan lama ada tertera aku Melayu.

hadir MyKad ada kacukan bahasa

aku hanya lelaki Islam tanpa bangsa

bangsa Melayu sudah digugurkan.

aku terima dalam paksa'


Menteri Melayu, pegawai Melayu

kerani Melayu, peon pun Melayu

tapi mereka enggan tulis 'Melayu'

mereka bukan lupa

mereka kata 'bin' itu Melayulah !

tetapi 'Lim bin Keong' bukan Melayu

'dustbin' pun bukan Melayu

itu tong sampah.


Pangkalnya Melayu lupa Melayu

masih disebut, lagu Melayu, filem Melayu

Melayu, Jalan Melayu semakin layu

Melayu mahu ke mana ?

jalan mati di mana-mana.


Melayu sedang pupus

akan terus dihapus

akan hanyut dibawa arus

dan aku duga akan lenyap terus !


Zakaria Bidin

Taman Kencana,

Kuala Lumpur.

7 Julai 2007


Dipetik dari buku : ANTOLOGI SAJAK - MELAYU MUDAH LUPA

Tuesday, January 13, 2009

DIRGAHAYU KDYMM TUANKU

Mungkin agak awal patik utuskan ucapan ini namun tinggal 5 hari sahaja lagi jadi, apalah salahnya. Patik ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Sir Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman serta jajahan takluknya. Dirgahayu Tuanku.

2009 hadir, teruskan hobi adalah azam ku

Assalamualaikum... lembaran tahun 2009 tersingkap sudah. 2008 ditinggalkan dengan penuh warna. Suka duka pahit manis akan menjadi lipatan sejarah, meninggalkan seribu satu nostalgia yang mungkin tidak sebagai sejarah yang dikenang seluruh insan namun apa jua perkara yang lepas, pasti menjadi sejarah peribadi bagi setiap manusia yang hidup.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT lembaran 2009 yang kini mencecah hari yang ke 13 pada hari ini, aku bersyukur kerana diberikan nafas untuk terus bernyawa, diberikan rahmat untuk terus mendiami bumi Allah ini dan yang paling aku syukuri, masih diberi kesempatan meneruskan kehidupan. Alhamdulillah, dalam meneruskan kehidupan, aku tidak lupa pada segala perkara yang harus kulakukan dan antaranya minat ku pada buku-buku politik.

11hb Januari 2009, aku menerima bingkisan pertamaku. Waktu tengahari, aku yang sedang berehat-rehat sambil membaca akhbar-akhbar harian yang ku beli telah dikunjungi oleh sahabat ku, Sdra Jailani bin Arshad yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tanjong Karang. Aku menerima sesuatu yang diisi didalam sampul surat dan bila ku buka, sebuah buku politik bertajuk "DARI SUNGAI BURUNG KE BUKIT MEGAWATI - Perjalanan Politik Dr. Mohamad Khir Toyo" karya Datuk Chamil Wariya. Gembira sungguh aku.

Mungkin buku tersebut telah lama kerana dicetak pada tahun 2005 dan terpampang perkataan "Edisi Kedua" namun, aku gembira kerana aku belum memiliki buku ini. Jika sebelum ini aku hanya memiliki buku bertajuk "CETUSAN DR. MOHAMAD KHIR TOYO" dan "MEMBANGUN SELANGOR GEMILANG" yang kedua-duanya dikeluarkan oleh INMIND, kini aku berbangga memiliki buku yang ditulis oleh Datuk Chamil Wariya ini dan ini adalah buku kedua yang ku miliki (karya Datuk Chamil) selepas buku bertajuk "PERJUANGAN MEMBELA MELAYU - UMNO Selangor 1946 - 2006" sebelum ini. Thanks Jai.

Hari ini, dengan sedikit modal, aku telah berjaya memiliki buku-buku politik dengan harga murah. Hasil dari persetujuan dengan Sdra. Abdul Halim Ismail, 7 buah buku aku terima hari ini.
Tajuk-tajuknya :
1. Selamat Malam Tan Sri karya novelis popular Sri Diah. (Novel) keluaran tahun 2003 (cetakan ketiga).
2. Tun Razak - Putera Titiwangsa karya Tan Sri Dato' Seri Shariff Ahmad (bekas Menteri Tanah & Wilayah) keluaran tahun 2000 (edisi ulang cetak).
3. Khairy Jamaluddin - Bakal Perdana Menteri karya Yahaya Ismail keluaran tahun 2004. (termasuk buku ini, sudah 9 buku karya Yahaya Ismail ada dalam simpanan. Antara penulis politik yang saya minati).
4. Anwar Terjerat - Teori Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks karya Ahmad Lutfi Othman keluaran tahun 1997. Ini adalah buku kedua karya Ahmad Lutfi selepas buku "MENYANGGAH FATWA-FATWA MAHATHIR" yang aku miliki.
5. Putera Merdeka - Cemerlang, Gemilang, Terbilang karya bersama Khairy Jamaluddin, Hasan Hamzah dan Wak Nahar Kamsani keluaran tahun 2004. Dari penelitian, buku ini menjurus kepada perjuangan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari zaman menuntut kemerdekaan hingga ke pendedahan hala tujunya kini.
6. Gayat karya Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob keluaran tahun 2001. Dah lama nak cari buku ni tapi jarang jumpa.
7. Getek juga karya Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob keluaran tahun 2000. Alhamdulillah, dapat 2 sekali karya Allahyarham.

Begitulah, baru 13 hari di tahun 2009, aku dah ada 8 buah buku menanti untuk dibaca. Terima kasih Sdra. Jailani. Terima kasih kepada Sdra. Abdul Halim. Saya dapat tahu, Sdra. Abdul Halim banyak koleksi. Kalau boleh bagilah diskaun lain kali...

Apa-apa pun, 2009 insya-Allah menjanjikan hobi ku terus berkembang.
Wasalam.