Tuesday, January 13, 2009

2009 hadir, teruskan hobi adalah azam ku

Assalamualaikum... lembaran tahun 2009 tersingkap sudah. 2008 ditinggalkan dengan penuh warna. Suka duka pahit manis akan menjadi lipatan sejarah, meninggalkan seribu satu nostalgia yang mungkin tidak sebagai sejarah yang dikenang seluruh insan namun apa jua perkara yang lepas, pasti menjadi sejarah peribadi bagi setiap manusia yang hidup.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT lembaran 2009 yang kini mencecah hari yang ke 13 pada hari ini, aku bersyukur kerana diberikan nafas untuk terus bernyawa, diberikan rahmat untuk terus mendiami bumi Allah ini dan yang paling aku syukuri, masih diberi kesempatan meneruskan kehidupan. Alhamdulillah, dalam meneruskan kehidupan, aku tidak lupa pada segala perkara yang harus kulakukan dan antaranya minat ku pada buku-buku politik.

11hb Januari 2009, aku menerima bingkisan pertamaku. Waktu tengahari, aku yang sedang berehat-rehat sambil membaca akhbar-akhbar harian yang ku beli telah dikunjungi oleh sahabat ku, Sdra Jailani bin Arshad yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tanjong Karang. Aku menerima sesuatu yang diisi didalam sampul surat dan bila ku buka, sebuah buku politik bertajuk "DARI SUNGAI BURUNG KE BUKIT MEGAWATI - Perjalanan Politik Dr. Mohamad Khir Toyo" karya Datuk Chamil Wariya. Gembira sungguh aku.

Mungkin buku tersebut telah lama kerana dicetak pada tahun 2005 dan terpampang perkataan "Edisi Kedua" namun, aku gembira kerana aku belum memiliki buku ini. Jika sebelum ini aku hanya memiliki buku bertajuk "CETUSAN DR. MOHAMAD KHIR TOYO" dan "MEMBANGUN SELANGOR GEMILANG" yang kedua-duanya dikeluarkan oleh INMIND, kini aku berbangga memiliki buku yang ditulis oleh Datuk Chamil Wariya ini dan ini adalah buku kedua yang ku miliki (karya Datuk Chamil) selepas buku bertajuk "PERJUANGAN MEMBELA MELAYU - UMNO Selangor 1946 - 2006" sebelum ini. Thanks Jai.

Hari ini, dengan sedikit modal, aku telah berjaya memiliki buku-buku politik dengan harga murah. Hasil dari persetujuan dengan Sdra. Abdul Halim Ismail, 7 buah buku aku terima hari ini.
Tajuk-tajuknya :
1. Selamat Malam Tan Sri karya novelis popular Sri Diah. (Novel) keluaran tahun 2003 (cetakan ketiga).
2. Tun Razak - Putera Titiwangsa karya Tan Sri Dato' Seri Shariff Ahmad (bekas Menteri Tanah & Wilayah) keluaran tahun 2000 (edisi ulang cetak).
3. Khairy Jamaluddin - Bakal Perdana Menteri karya Yahaya Ismail keluaran tahun 2004. (termasuk buku ini, sudah 9 buku karya Yahaya Ismail ada dalam simpanan. Antara penulis politik yang saya minati).
4. Anwar Terjerat - Teori Konspirasi Menjatuhkan TPM Melalui Tuduhan Skandal Seks karya Ahmad Lutfi Othman keluaran tahun 1997. Ini adalah buku kedua karya Ahmad Lutfi selepas buku "MENYANGGAH FATWA-FATWA MAHATHIR" yang aku miliki.
5. Putera Merdeka - Cemerlang, Gemilang, Terbilang karya bersama Khairy Jamaluddin, Hasan Hamzah dan Wak Nahar Kamsani keluaran tahun 2004. Dari penelitian, buku ini menjurus kepada perjuangan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari zaman menuntut kemerdekaan hingga ke pendedahan hala tujunya kini.
6. Gayat karya Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob keluaran tahun 2001. Dah lama nak cari buku ni tapi jarang jumpa.
7. Getek juga karya Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Megat Junid bin Megat Ayob keluaran tahun 2000. Alhamdulillah, dapat 2 sekali karya Allahyarham.

Begitulah, baru 13 hari di tahun 2009, aku dah ada 8 buah buku menanti untuk dibaca. Terima kasih Sdra. Jailani. Terima kasih kepada Sdra. Abdul Halim. Saya dapat tahu, Sdra. Abdul Halim banyak koleksi. Kalau boleh bagilah diskaun lain kali...

Apa-apa pun, 2009 insya-Allah menjanjikan hobi ku terus berkembang.
Wasalam.

1 comment:

cheklem said...

To Saudara Rizal, terima kasih. Saya terharu dan tumpang gembira membaca blog saudara. Buku-buku tulisan arwah T.S. Megat Junid tu memang saya baca dan susah dapat. Saya jumpa di car boot sales Shah Alam beberapa tahun dulu. Buku novel 'Selamat Malam Tan Sri' tak lah berbentuk politik sangat tapi menarik untuk dibaca (bila mula baca susah nak berhenti). Buku Khairi Jamaludin tu saya tak sempat habis baca tapi mungkin banyak suasana atau iklim politik yang diceritakan dah berubah. Selamat membaca dan teruskan perjuangan yang murni. Dari Abdul Halim