Saturday, January 17, 2009

PASAR CHOWRASTA TURUT MENEMPATKAN KEDAI BUKU TERPAKAI

ARKIB : 24/03/2008

PULAU PINANG - Buku lama atau buku terpakai mempunyai nilai yang berbeza kepada setiap orang malah tidak ramai yang mengetahui bahawa buku-buku berkenaan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.
Kepada kebanyakan orang, buku-buku terpakai cuma menghimpun habuk dan debu, membazir ruang dan merimaskan sekali gus jalan paling mudah yang diambil ialah dengan membuangnya sahaja.
Namun, kepada segelintir masyarakat terutama yang menggemari atau mempunyai hobi mengumpul buku, barangan bacaan yang telah lusuh dan buruk itu ada harganya.
Bagi penggemar buku-buku terpakai di negeri ini, mereka pasti akan menuju ke satu tempat iaitu di Pasar Chowrasta yang terletak di Jalan Penang untuk mendapatkan buku-buku berkenaan.
Kedai-kedai buku berkenaan terletak di bahagian atas bangunan dua tingkat pasar tersebut dan ia menempatkan beribu-ribu buku sama ada yang baru atau pun terpakai.
Bagi penggemar buku terpakai, kunjungan ke kedai-kedai itu adalah satu kemestian kerana pelbagai jenis buku ada dijual di situ dengan harga yang berpatutan.
Walaupun harga yang ditawarkan adalah berpatutan namun pembeli masih boleh tawar-menawar dengan pembeli di situ.
Malahan pembeli yang membeli buku berkenaan boleh menjual semula kepada peniaga di kedai yang sama selepas mereka habis membaca buku tersebut namun harga yang dibeli semula itu lebih rendah daripada harga asal.
Buku-buku yang dijual pula meliputi semua topik termasuk seram, novel, biografi, cara hidup atau akademik hasil karya penulis terkemuka dunia.
Sudah pastinya timbunan buku di deretan kedai itu menghimpunkan pelbagai hasil karya penulis ternama dunia dan tempatan sebagai santapan minda kepada penggemar buku.
Selepas membeli buku, pengunjung boleh melawat Pasar Chowrasta yang bukan sahaja terkenal dengan aktiviti pasar basah, malah mereka boleh membeli baju-baju dan yang paling istimewa pengunjung boleh mendapatkan jeruk-jeruk dengan harga yang berpatutan.
Antara jeruk yang selalu menjadi tumpuan ialah betik, mangga, kedondong, buah pala dan bawang putih.

OLEH : NURUL HUDA HASSAN
Dipetik dari : Utusan-online

No comments: