Monday, October 6, 2008

IKHLAS DALAM PERJUANGAN

Kepimpinan belia yang ada hari ini adalah pewaris pada generasi pada masa akan datang. Oleh itu, cabaran serta rintangan yang besar sedang menanti bagi pemimpin belia yang ada di Daerah ini. Saya ingin mengulas kenyataan Zaini Taha selaku EXCO Majlis Belia Daerah (MBD) Kuala Selangor yang menyentuh tentang menghayati perjuangan pemimpin terdahulu pada kenyataan yang tersiar di akhbar Sinar Harian hari ini (Selasa - 7 Oktober 2008).

Ingin saya nyatakan bahawa pandangan serta saranan Zaini Taha yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Kuala Selangor itu benar namun bila menyentuh soal kenyataan yang dibuat, jelas kini terdapat krisis kepimpinan di dalam MBD. Tidak mungkin Zaini membuat kenyataan secara umum dan tanpa tujuan. Apa yang saya lihat, kenyataan tersebut ditujukan kepada seseorang yang ada di MBD. Jika itu kenyataan beliau, saya amat tidak bersetuju. Selama ini pun kita sedia maklum bahawa belia bukan milik individu. Kenapa timbul soal individu serta badan gabungan. Saya rasa kepimpinan sebelum ini tidak pernah menafikan hak badan gabungan dalam MBD sebelum ini.
Saya berharap, setiap pemimpin belia, baik diperingkat cawangan, kawasan, bahagian mahupun daerah sentiasa peka dalam masalah belia di daerah ini dan tidak mengorbankan perjuangan yang dilakukan dengan menjerumuskan pertubuhan atau persatuan belia yang dipimpin dalam krisis kepimpinan yang sedang bertiup kini. Saya menyokong penuh siapa sahaja yang menjawat jawatan Pengerusi MBD Kuala Selangor asalkan ikhlas dalam perjuangan. Tunjukkan khidmat serta sumbangan yang anda mampu beri untuk kemajuan belia di daerah ini. Insya-Allah, perjuangan anda akan direstui Allah SWT.

* Saya memberi pandangan selaku Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Tanjong Karang.

No comments: